Penganggur Didenda RM9,500 Kerana Hina Perdana Menteri

loading...

ALOR SETAR - Seorang penganggur didenda RM9,500 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membuat komen jelik terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan aplikasi Twitter, Disember tahun lalu.    

Hakim Najwa Che Mat turut memerintahkan tertuduh, Mohamad Arif Fadila Arbain, 26, dipenjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang menggunakan akaun Twitter atas nama @SangAlgojoe, melakukan kesalahan itu pada 9.32 malam, 1 Disember 2015 dengan niat untuk menyakiti hati orang lain.    

Komen jelik itu dibaca di Stadium Darul Aman, di sini pada 10 Januari 2016.    

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta yang sama.    

Terdahulu peguam tertuduh, Lim Wei Yong daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman seringan-ringannya kepada anak guamnya memandangkan tertuduh baru sahaja berhenti kerja sebagai pembantu kedai makan dan perlu menanggung bapanya yang menghidap kencing manis dan darah tinggi.    

Bagaimanapun Pengarah Pendakwaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Mohd Sophian Zakaria mahu hukuman tegas diberikan kepada tertuduh kerana kes tersebut merupakan kepentingan awam dan perlu menjadi pengajaran kepada masyarakat.     

"Kesalahan ini serius dan jika tidak dicegah khususnya oleh mahkamah akan memberi mesej kepada masyarakat untuk bebas membuat komen jelik atau tidak baik kepada mana-mana pihak," katanya.
   
Tertuduh dalam rayuannya pula berkata menyesal dengan perbuatannya dan tidak akan melakukan perbuatan itu lagi pada masa akan datang. - Bernama
loading...

0 Response to "Penganggur Didenda RM9,500 Kerana Hina Perdana Menteri"

Post a Comment

facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close