Curi sebab mahu buat rendang

loading...
Curi sebab mahu buat rendang 
Nor Farina kelihatan tidak dapat menahan air mata sebaik keluar dari mahkamah, semalam.
 
SEREMBAN - Seorang wanita tidak dapat menahan air mata apabila dibebaskan dengan bon berkelakuan baik kerana mencuri oleh Mahkamah Majistret Seremban, di sini, semalam.

Nor Farina Che Ya, 38, dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM1,500 tanpa penjamin.  

Majistret Rahimah Rahim membuat keputusan itu selepas mendengar rayuan Nor Farina.

Dia mengaku mencuri di sebuah pasar raya berhampiran Dataran Centrio, Seremban 2, di sini, sekitar jam 6 petang, 5 Ogos lalu.

Barang-barang yang dicurinya adalah daun kunyit, daun pandan, serai, daging kambing, syampu rambut, minyak angin, pakaian dalam, seluar dan tudung, semuanya dianggarkan bernilai RM262.86.

Mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, hukuman maksima yang diperuntukkan adalah 10 tahun penjara dan denda.  Bagi kesalahan kedua dan seterusnya pula, pesalah boleh dihukum penjara, denda atau sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Soo Kok Weng, manakala Nor Farina tidak diwakili peguam.

Nor Farina memberitahu mahkamah, dia menghidap diabetes kronik  dan mempunyai anak perempuan berusia 10 tahun yang menghidap penyakit hipoglisemia.

Katanya, dia mencari nafkah dengan mengutip dan menjual kotak serta barang lusuh.

Tambahnya, dia menerima bantuan RM150 setiap bulan, tetapi tidak cukup untuk menampung hidupnya dan anaknya.

Nor Farina memberitahu mahkamah, dia memohon bantuan baitulmal, tetapi tidak berhasil.
Dia berkata, dia mencuri kerana terdesak.

'Saya nak buat rendang...'

“Saya curi daging... curi serai untuk buat rendang... sebab tak mampu,” luah Nor Farina Che Ya sambil berlinangan air mata apabila mengenang kembali perbuatannya mencuri di sebuah pasar raya.

Menurut ibu tunggal berusia 38 tahun ini, dia nekad melakukannya walaupun sedar tindakan itu berdosa dalam Islam dan salah di sisi undang-undang, lantaran tertekan dengan desakan hidup.

“Memang masa buat tu saya tak fikir apa. Saya cuma fikir perut anak yang lapar. Saya kata pada diri sendiri, biarlah saya tanggung dosanya. Apa saya mampu bayar cuma beras pulut yang harganya lima ringgit lebih.

“Macam pakaian tu, saya teringin sangat nak rasa. Bukan untuk saya saja, tapi untuk anak. Saya ambil tudung,” katanya dalam nada teresak-esak ketika ditemui di luar mahkamah, semalam.

Sementara itu, Pengarah JKM Negeri Sembilan, Mohamad Hapil berkata, pihaknya akan menghantar pegawai untuk menyiasat situasi menimpa wanita berkenaan sebelum mempertimbangkan permintaannya.

Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains), Kamal Amran Kamarudin berkata, pihaknya juga akan membuat semakan bagi memastikan kesahihan dakwaan Nor Farina berhubung permohonan bantuan Baitulmal.
loading...

0 Response to "Curi sebab mahu buat rendang"

Post a Comment

facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close