'Sebak Melihat Dua Beranak Ini Hanya Mampu Makan Beli Nasi Putih + Kuah Kosong'

loading...
Kalau kita rasa kita dah susah, sentiasalah beringat bahawa ada lagi orang lain yang lebih susah dari kita. Agar kita bersyukur dengan apa yang kita ada dan tidak mudah menunding jari kepada sesiapa ataupun Tuhan kenapa begitu dan begini.

Membaca perkongsian dari laman Info Ibu Hamil ini, sedikit sebanyak mengingatkan bahawa bukan semua orang boleh merasai nikmat hidup senang. Semoga perkongsian ini dapat membuka hati para pembaca bersyukur dan bantulah mereka yang benar-benar memerlukan bantuan.


Ini cerita beberapa hari yang lalu semasa COD barang. Saya singgah di sebuah warung makan sebab anak saya sudah menjerit-jerit dahaga nak minum air. Semasa duduk di warung itu, saya perasan ada seorang lelaki tua dengan seorang budak lelaki sebaya dengan anak saya, mungkin usia 4 tahun gitu.

Lelaki itu nampak selekeh sangat, kaki tangan hitam berminyak, baju seluar kasut lusuh. Mungkin orang susah, jadi nampak uzur saja. Budak lelaki itu pun kurus sangat, nampak terketar-ketar. Mungkin lapar sangat agaknya.

Saya perhatikan saja dua beranak itu. Si ayah pegang pinggan berisi nasi putih bersama anak ke hulur ke hilir depan lauk-lauk atas dulang makanan. Dua beranak itu memang menarik perhatian semua orang dalam kedai itu. Tidak kurang juga ada yang memandang sinis seolah-olah geli melihat mereka dua beranak yang kotor. Astaghfirullah.

Hati ini dah rasa semacam. Air saya dah lama habis tapi punggung saya masih meletak duduk di situ dan leka memerhatikan si ayah yang berdiri lama depan lauk tetapi tidak juga diambil-ambil lauknya. Anak pula asyik menunjuk-nunjuk lauk sotong. Mungkin nak makan sotong agaknya.

Akhir sekali si ayah hanya mengambil kuah sahaja. Nasi putih dengan kuah kosong. Jangankan lauk sotong, satu ketul lauk dia langsung tak ambil. Tak ada lauk langsung. Anak ini diam saja, tak cakap sepatah apa pun bila ayah dia suruh duduk makan nasi kosong dengan kuah semata-mata.

Masa itu, Allah saja yang tahu macam mana perasaan saya bila melihat mereka dua beranak makan nasi putih sepinggan dengan kuah kosong. Air memang tak ada. Apa yang lebih menyedihkan, si ayah langsung tidak menjamah makanan itu, hanya duduk di sebelah saja melihat anaknya makan. Ayahnya cuma mengutip nasi yang tumpah di tepi pinggan anak dan suap ke mulut sendiri. Sayu hati tengok.

Ya Allah.. masa itu juga mengalir air mata saya. Sebaknya usah dikata, susahnya hidup mereka. Kita rasa hidup kita dah susah, rupanya ada lagi orang yang lebih susah dari kita. Sedih melihat dua beranak itu, saya pun menuju ke kaunter dan meminta pembantu kedai letakkan nasi sepinggan dengan lauk-lauk sekali. Adalah sikit sotong, ikan bakar, sayur, telur mata dengan lauk lain. Kemudian, saya minta pembantu kedai itu hantar nasi itu ke meja dua beranak tadi.

Pada mulanya lelaki itu nampak terkejut, saya dengar dia kata tak nak sebab tak ada duit nak bayar. tetapi pembantu kedai itu kata, ambillah, ada orang belanja. Si anak pula panjang leher tengok saja nasi penuh dengan lauk tetapi sikit pun tidak merengek pada ayahnya nak meminta makanan itu. Akhirnya lelaki itu mengambil juga nasi yang diberikan itu.

Saya dah berjalan menuju ke kereta. Dalam kereta, saya perhatikan lagi dua beranak itu dari jauh. Terkejut saya bila melihat lelaki itu menangis dan kepalanya tunduk saja ke meja sambil tangannya mengesat-ngesat air mata. Sesekali dia mengosok dan mencium kepala anaknya yang tengha makan nasi tadi.

Ya Allah, lagilah sebak dada melihat lelaki itu menangis sambil memeluk anaknya. Bagi saya, air mata lelaki itu kalau gugur membasahi pipi adalah air mata yang sangat-sangat jujur.

Bayangkan, sampai anak saya bertanya.

"Mama, kenapa mama menangis? Ayyad tak naughty lagi. Sorry mama," 

Saya terus peluk kedua-dua anak saya sambil menangis, sedih.

Bersyukurlah dengan apa yang kita ada sebab bukan semua orang dapat merasa nikmat kesenangan. Kita susah, ingat ada lagi insan lain yang jauh lebih susah dari kita. Semoga Allah memelihara kedua beranak itu. - Info Ibu Hamil
loading...

0 Response to "'Sebak Melihat Dua Beranak Ini Hanya Mampu Makan Beli Nasi Putih + Kuah Kosong' "

Post a Comment

facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close