Zaman Sudah Berubah, Guru Suruh Anak Didik Padam Papan Hitam Pun Ditegur Ibubapa

loading...
Gambar hiasan | Foto - Google Images
Ada seorang sahabat saya yang bertugas selaku pensyarah di universiti tempatan, jika sekali berjumpa dengan saya, dia sering kali mengeluh betapa zaman sudah berubah. Bagaimana anak-anak mahasiswa yang diajarnya itu sudah kekurangan adab dan santun dalam menyantuni guru-guru mereka.

Dulu, ada seorang guru menceritakan kepada saya, bagaimana dia dan guru-guru sekolahnya menghimpunkan anak-anak didik mereka di sebuah program kembara di kaki hutan. Sudah pasti mereka bermalam di khemah dan tentulah ada panas dan peluh ketika menjalankan aktiviti seperti itu.

Menjelang petang, sebuah kereta Mercedes yang besar menjalar memasuki kawasan rekreasi dan rehat. Rupa-rupanya seorang ayah datang mahu mengambil anaknya. Anak didik itu mengadu bahawa dia tidak boleh berada lama di hutan, rasa rimas dan lemas lalu menghubungi ayahnya datang menjemputnya pulang segera.

Guru-guru tidak mampu berbuat apa-apa. Khabarnya, guru-guru tersebut mengajar di sekolah anak-anak hartawan serta anak bangsawan yang nama teratas dalam masyarakat tertinggi.

Pelajar sedang memadam papan hitam | Foto - Google Images
Sebuah lagi kisah, seorang rakan saya yang bertugas di sebuah sekolah (bukan sekolah saya) menceritakan bagaimana dia ditegur ibu bapa kepada anak-anak didiknya kerana menyuruh anak mereka memadam papan hitam.

Dia ditegur agar tidak lagi menyuruh anak didiknya itu melakukan tugasan sedemikian kerana anak mereka bukanlah orang gaji, bukan orang suruhan tetapi anak didik adalah 'pelanggan' kita. Semenjak dari peristiwa itu, dia menjadi serik.

Tentu anda semua pernah menonton video yang viral di media sosial bagaimana sebuah sekolah di Jepun yang mendidik anak-anak didiknya menyapu lantai dan membersihkan kelas mereka. Jepun negara maju kot?

Ini sebuah cerita di sekolah jiran, yang pada suatu harinya seorang guru lelaki menegur seorang anak didiknya tentang disiplin. Menegur sahaja, bukan menghukum atau mendenda. Malah bercakap pun dengan nada yang biasa.

Selepas itu? Satu bahagian kereta guru itu dikopak, digores dan dicalar dengan teruk. Lalu guru berkenaan kembali menemui anak didiknya itu.

Kereta guru dicalar oleh anak didik | Foto - Google Images
"Kalau saya tahu awak mahu berbuat sesuatu pada kereta saya, baik saya berikan awak terus duit daripada poket saya. Ambillah duit saya sekarang," kata guru berkenaan.

Satu sindiran tentang bagaimana guru sudah tidak mampu untuk berbuat apa-apa kerana mengikut undang-undang, guru-guru tidak dibenarkan mengenakan hukuman ataupun denda pada anak didik mereka. Jika guru mengenakan hukuman fizikal pada anak didiknya, guru akan dipertanggungjawabkan. Jika guru menegur, maka semua kereta habis digores satu demi satu.

Apakan daya zaman sudah berubah. Maka, beralihlah mereka ke alam dewasa di IPT dengan keluhan rakan saya yang bertugas sekali pensyarah itu. Rakan saya sangat terkejut menerima WhatsApp yang bertanya,

"Tuan datang tak, ke kelas pagi ini?"


Sedangkan kita dahulu, menunggu 10 hingga 15 minit selepas jam 8 pagi. Ternanti-nanti jika pensyarah itu datang atau kelas dibatalkan sebaliknya tanpa diberitahu. Jika dahulu, tidak hadir berhari-hari ke sekolah, maka datanglah seorang guru yang bertanyakan kisah mengapa tidak hadir ke sekolah.

Namun di zaman sekarang, guru datang bertanya selepas berminggu-minggu tidak hadir. Guru datang menjemput anak didik ke sekolah dengan motosikal yang dibawa guru berkenaan. Esoknya, anak didik itu tidak datang juga dan lusa pun tidak datang lagi. Lalu guru itu sekali lagi pergi ke rumah anak didik berkenaan.

Ayah kepada anak didiknya yang masih tidur keluar menjengah pintu sambil mengesat-ngesat matanya dan menjawab,

"Laa, saya ingatkan cikgu nak ambil anak saya hari-hari selepas ini. Cikgu, kalau nak anak saya datang awal, cikgu buatlah asrama di sekolah itu ya."

Begitulah antara peristiwa yang hadir menjengah dalam minda saya apabila menceritakan tentang zaman sudah berubah. Klise sungguh apabila mereka menggunakan frasa sebegitu.

Ibu bapa tidak puas hati pelajar lewat didenda duduk atas jalan tar | Foto - Google Images
Zaman tuan-tuan dahulu belajar bagaimana ya? Pernah atau tidak dirotan, dijemur, ketuk ketampi atau apa-apa sahaja yang tidak boleh dilakukan sekarang. Apatah lagi duduk di atas jalan tar?

Saya pun pernah ditampar oleh ayah saya sendiri yang juga merupakan ustaz di sekolah saya ketika saya berada di sekolah rendah dahulu.

Oh ya, satu hari saya pernah menghadiri sebuah bengkel di sekolah berasrama penuh di selatan daerah saya. Ya, sekolah breprestasi tinggi. Sedang saya memarkirkan kereta, saya ternampak sekumpulan anak-anak didik bertuah ini sedang berjalan itik ke padang sambil diperhatikan gurunya. Tangan ke belakang, turut perintah sungguh. Untuk pengetahuan, cikgu itu guru wanita.

Ya, kenangan yang amat dekat di hati. Zaman saya pun didenda sebegitu. Tersenyum saya melihatnya. Mendengar kata sungguh anak-anak didik berkenan dengan hukuman yang dikenakan. Dan begitu berani dan tegarnya guru itu. Tidak takutkah dipersoalkan kredibiliti hukuman sebegitu?

Kalaulah saya gemarkan memviralkan sesuatu dan suka dengkikan orang lain, saya akan ambil video kejadian itu dan sebarkan luas. Saya akan buat kapsyen paling win.

Gambar hiasan | Foto - Google Images
"Guru denda pelajar sehingga pengsan, tidak dibenarkan makan, berjalan itik sehingga lewat petang,"

Sudah tentu ayat itu tidak sekemas ayat saya denngan singkatan perkataan yang disukai orang sekarang. Namun saya tidak melakukannya kerana saya seorang guru. Hanya guru yang memahami dunia jauh berubah sama sekali. Sekalipun yang dilakukan itu sebenarnya untuk kebaikan anak-anak didik..

Seorang doktor menulis di Facebook tentang impiannya mahu bertugas selaku seorang doktor di daerah pendalaman. Yang jauh dari viral dan pelanggan yang suka menghentam dunia doktor dan jururawat, suka memviralkan situasi tidak benar kepada daerah komuniti penduduk pendalaman yang lebih tahu menghargai nilai kemanusiaan. 

Hakikatnya, ada ramai lagi guru-guru yang mahu pulang ke daerah pendalaman dan kampung kerana tidak boleh mengajar anak-anak didik orang bangsawan yang menjadikan guru sebagai 'hamba' kepada sistem 'zaman sudah berubah'.

Saya sudah lama tidak merotan anak didik saya. Sudah berbelas-belas tahun lamanya. Zaman sudah berubah tetapi saya masih guru yang sama, masih juga seperti dulu.

Prof Muhaya pernah bercerita sewaktu zaman belajarnya dahulu, arwah ayahnya sering mengajaknya pergi berhari raya di rumah bekas-bekas guru Prof Muhaya. Jauh-jauh pergi beraya. Prof berkata, arwah ayahnya mahu membalas jasa kepada guru-guru yang pernah mengadakan kelas tambahan secara percuma buat dirinya dahulu sebagai tanda berterima kasih. Begitulah hubungan orang zaman dulu dengan guru-gurunya.

Bagaimanakah selepas 15 tahun akan datang ya? Takut pula sekiranya anak didik menumbuk saya yang sudah pun tua dan tiada gigi pada ketika itu berusia 58 tahun kerana sudah tiada apa-apa erti lagi dengan menjadi guru. Sekadar mengajar bukanlah tentang mendidik. Zaman sudah berubah, katanya lah. - As Syahid | The Reporter
loading...

0 Response to "Zaman Sudah Berubah, Guru Suruh Anak Didik Padam Papan Hitam Pun Ditegur Ibubapa"

Post a Comment

facebook KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close